Friday, September 4, 2020

Fasa Pertama - Mencari Penyewa

Fasa Pertama : Mencari Penyewa

Mencari penyewa tidak sukar sekiranya kedudukan rumah kita sememangnya strategik, dan rumah dalam keadaan baik. Kita boleh mengiklankannya secara percuma di dalam portal sewa-beli online seperti mudah.my, di kumpulan whatsapp golongan sasar, di Facebook dan sebagainya. Yang penting, gambar mesti cantik dan maklumat yang diberikan cukup lengkap. Harga pula mestilah menepati harga pasaran semasa untuk rumah sewa di kawasan berkenaan.

Apabila iklan sudah dinaikkan, tunggu sajalah pesanan whatsapp dan panggilan telefon akan masuk berlumba-lumba. Baru-baru ini saya menaikkan iklan rumah di mudah.my pada petang hari Sabtu, dan malam itu sahaja sudah hampir sepuluh prospek menghubungi. Saya pilih hanya tiga prospek datang untuk melawat rumah selepas berbual ringkas untuk mencungkil maklumat latar-belakang. Ketiga-tiga mereka sangat-sangat teruja namun saya terpaksa pilih seorang sahaja berdasarkan kriteria khas yang saya ada.

Kita perlu tahu bahawa bukan semua orang sesuai menyewa di rumah kita. Tidak boleh tangkap muat, asalkan ada penyewa. Jangan terlalu melulu memberikan harta yang kita beli pada harga beratus-ratus ribu dengan hutang di bank kepada mereka yang tidak layak. Akibatnya kita yang akan tanggung jika si penyewa liat membayar sewa, merosakkan rumah atau paling teruk jika menjadikan rumah kita sebagai pusat maksiat/jenayah.

Mereka bebas, tapi sebagai tuan punya rumah, kita yang akan tanggung segala akibatnya.

Jadi, jangan cari nahas!

Daripada pengalaman saya menguruskan rumah sewa sendiri, saya syorkan anda untuk elakkan dari menyewakan rumah kepada beberapa golongan di bawah:

1. Saudara-mara / adik beradik 

Mereka adalah golongan yang paling sukar hendak diuruskan. Mereka mudah meminta simpati, mudah memanupulasi dan sukar mendengar kata. Hatta sudah ada perjanjian sewa hitam putih bersetem hasil sekalipun, mereka tidak takut untuk ingkar dari perjanjian tersebut kerana mereka tahu tidak mudah untuk kita bawa mereka ke muka pengadilan. 

"Alaa.. dengan saudara-mara/adik-beradik sendiri pun nak berkira," begitulah nanti mereka akan kata. Tiba-tiba kita pula yang nampak buruk, yang kononnya berkira dengan darah daging sendiri. Akan ada mulut-mulut jahat yang menokok-tambah kononnnya kita tidak bersimpati pada si polan yang gaji kecil dan anak ramai. Kononnya kita hanya nak kumpul harta dunia tanpa peduli derita keluarga sendiri. Walhal, hakikatnya hutang kita dengan bank masih lagi perlu dijelaskan tanpa gagal. Bank tak peduli apa-apapun alasan.

Jadi, jika tidak mahu apa-apa masalah dengan keluarga sebaiknya elak dari menyewakan rumah kita dengan mereka. Kecuali kalau memang sudah kita niatkan nak bantu saudara-mara/adik-beradik dengan membenarkan mereka duduk di rumah sewa kita. Mereka lambat bayar, tak bayar atau rosakkan rumah pun kena kena redha. 

2. Kawan-kawan yang kita sudah kenal perangainya yang liat bayar hutang

Kawan-kawan begini biasanya mulut mereka manis. Semasa belum dapat, mereka janji bulan dan bintang; bayar mengikut masa, jaga rumah baik-baik dan akan pulangkan rumah dalam keadaan baik. Tapi bila tiba masanya nak bayar sewa, ada sahaja alasan mereka. 

Bulan ini kereta rosak, bulan depan roadtax mati, bulan tulat pula syarikat potong bayaran kerja lebih masa, isteri bersalin, anak sakit, kucing sakit... eh, macam-macamlah! Kesimpulannya, ada sahaja hal yang menghalangnya dari membayar mengikut perjanjian. Lebih menyeramkan bila mereka gagal bayar lebih dua bulan, dan kita susah nak suruh mereka kosongkan rumah sebab mereka kata kita sepatutnya memahami masalah mereka. Maklumlah, kita kan kawan!

3. Tiada kerja tetap / Pendapatan tidak setanding kos sewa rumah

Semasa bakal penyewa datang melihat keadaan rumah, selit-selitlah soalan mengenai pekerja mereka. Kalau kita rasa pendapatan dari pekerjaan yang dinyatakan tidak sepadan dengan kos sewa rumah kita, sebaiknya kita jangan pilih mereka untuk menyewa. Sebagai contoh, seorang penjaga stor ataupun seorang pelajar yang hanya bergantung kepada biasiswa ingin menyewa rumah berharga RM1000 sebulan, pastinya tidak sesuai kerana beliau ada perbelanjaan bulanan lain yang perlu difikirkan. 

Pernah terjadi penyewa tidak mampu hendak meneruskan bayaran bulanan kerana kesempitan wang sehingga memerlukan kita mengeluarkan notis kosongkan rumah. Tapi, si isteri penyewa menangis-nangis minta simpati atas alasan anak-anak masih kecil, dan mereka tiada tempat untuk mereka pergi. Sebagai manusia, saya sangat bersimpati. Namun sebagai peminjam bank, saya tidak dapat membantu mereka kerana kewangan saya juga terhad. 

4. Warga asing yang kita tidak pasti tujuan mereka di Malaysia 

Warga asing adalah antara golongan yang bayar secara berdisiplin, jadi jika kita dapat warga asing menyewa ia adalah rahmat untuk tuan rumah. Harga premium juga biasanya dikenakan kepada warga asing. Namun, saya cadangkan kita dapatkan sebanyak mungkin informasi tentang latar belakang Malaysia di Malaysia. Pastikan ada visa kerja/belajar yang sah, surat tawaran kerja/belajar di Malaysia, pengesahan berkahwin dengan rakyat tempatan, atau apa-apa dokumen yang membuktikan mereka di sini secara sah. Ini untuk mengelakkan daripada rumah kita dijadikan tempat persembunyian PATI.

Selepas mengelak dari menyewakan rumah kita kepada empat golongan di atas, kepada siapa pula kita digalakkan untuk memberi sewa?

Saya bahagikan golongan yang layak menyewa rumah saya kepada dua :

1. Syarikat 

Memberi sewa kepada pihak syarikat tertentu adalah idaman kebanyakan tuan rumah. Ini kerana bayaran dari pihak syarikat biasanya tepat pada masanya dan mereka sangat-sangat menghormati perjanjian sewa. Selain daripada itu, kadar sewa kepada pihak syarikat biasanya lebih tinggi daripada kadar sewa dengan individu.

2. Golongan professional / Bergaji tetap

Ini adalah berkaitan dengan kemampuan si penyewa untuk membayar sewa bulanan rumah. Kita terpaksa memilih begini untuk memastikan mereka membayar tepat pada masanya, agar kita boleh membayar tepat pada masanya kepada bank pula. Jadi, jangan lupa selidik tentang pekerjaan dan latar-belakang dengan baik semasa mereka datang melawat rumah, dan minta bukti pekerjaan semasa menandatangi perjanjian sewa.

Jika pelajar ingin menyewa rumah kita, pastikan perjanjian ditandatangani oleh ibubapa/penjaga mereka. Jika ada apa-apa berlaku, ibubapa/penjaga mereka boleh dipertanggungjawabkan. 

Jika terlalu memilih begini, mudahkah untuk mendapat penyewa?

Jawapannya mudah, dengan syarat kedudukan rumah kita sememangnya ada permintaan dan keadaan rumah kita adalah baik. Saya terpaksa ulang kenyataan ini berkali-kali agar kita tahu bahawa ini adalah faktor paling utama. Jadi beli rumah untuk disewakan jangan semberono ya.

Apabila kita berjaya melalui fasa mencari penyewa idaman ini, barulah kita boleh melangkah ke fasa seterusnya dengan hati yang tenang.


No comments:

Post a Comment

Ulasan Kelas

Dari kelas ini saya dapat belajar bagaimana untuk fokus menyediakan bahan dalam masa 10 hari, mencipta kaver buku berbentuk flat cover dan 3...