Showing posts with label BAB 1 : URUS RUMAH SEWA. Show all posts
Showing posts with label BAB 1 : URUS RUMAH SEWA. Show all posts

Friday, September 11, 2020

Idea Buat Duit


Saya dan suami dibesarkan dalam keluarga miskin. Hidup hanya kais pagi makan pagi, jadi jauh sekali nak sembang tentang belajarkan anak tinggi-tinggi. Ayah berulang kali mengingatkan; kalau bercita-cita besar, wajiblah belajar pandai-pandai untuk dapat biasiswa. Jika tidak, duduklah di kampung buat kerja kampung. Ayah tidak mampu untuk bayarkan. Alhamdulillah, ketika itu kerajaan sememangnya meletakkan pendidikan Bumiputera sebagai salah satu agenda utama. Kami mendapat bantuan dan biasiswa dari pelbagai agensi kerajaan untuk terus maju dalam kehidupan.

 

Namun di zaman ekonomi serba mencabar ini, kita tidak boleh lagi meletakkan harapan kepada pihak lain untuk melansungkan kehidupan. Zaman di mana kerajaan akan memberi bantuan jika kita ketinggalan dari segi ekonomi sudah berlalu. Sekarang, apabila kita mahukan sesuatu kita mestilah berusaha untuk mendapatkannya. Warga Malaysia lain sudah memperjuangkan kesamarataan. Taraf Bumiputera kita bukan lagi tiket untuk diberi bantuan selamanya.

 

Atas kesedaran inilah, saya dan suami tekad untuk mencari duit lebih sebagai persediaan pendidikan anak-anak. Selain mempunyai kerjaya tetap, kami juga mencuba pelbagai cara lain. Bisnes dropship, sudah. Keluarkan produk sendiri, sudah. Jual kosmetik, sudah. Main sahampun, sudah. Namun, pendapatan tambahan yang kami dapat tidaklah seberapa selain daripada ianya menuntut banyak masa kami dihabiskan ke arah itu.

 

Pada tahun 2012, saya berkenalan dengan seorang kakak sepejabat yang hidupnya tampak sederhana walaupun sudah berpangkat pengurus. Saya gelarnya Kak Zai. Dialah yang memperkenalkan konsep satu rumah bagi setiap seorang anak. Katanya, dengan cara ini dia tidak perlu lagi risau tentang masa depan pendidikan anak-anaknya. Mereka hanya perlu belajar bersungguh-sungguh untuk melayakkan diri ke pusat pendidikan pilihan hati, selebihnya mama dan papa akan uruskan dengan adanya rumah mereka itu.

 

Kak Zai menjelaskan, rumah tambahan yang kita beli untuk anak-anak bertujuan sebagai pelaburan jangka panjang. Kita beli semasa anak masih kecil, dan kita jual apabila mereka sudah hampir sedia ke menara gading. Sementara nak tunggu anak-anak membesar, dapatkanlah pendapatan tambahan dari rumah-rumah tersebut.

 

Banyak pilihan yang ada berkaitan dengan bisnes rumah. Antara yang menjadi pilihan ramai ialah rumah sewa jangka panjang dan homestay. Saya memilih rumah sewa kerana saya dan suami masih bekerja tetap. Rumah sewa tidak memperlukan perhatian penuh berbanding homestay.

 

Berbaloikah pendapatan dari rumah sewa? Saya serahkan kepada tuan-puan yang membaca e-book ini untuk memberi penilaian. Saya akan perincikan pengalaman saya di sini agar menjadi pedoman anda yang mahu memilih jalan yang sama untuk pendidikan anak-anak di masa depan.

Wednesday, September 9, 2020

Temuduga Penyewa

Ingin saya ingatkan berkali-kali agar perkara ini terpahat di dalam ingatan anda, bahawa rumah sewa kita adalah harta kita yang sangat tinggi nilainya, yang belum lagi betul-betul jadi milik mutlak kita. Fakta bahawa kita masih berhutang dengan bank, bermaksud yang rumah itu sebenarnya masih lagi hakmilik bank. Kita hanyalah pemilik sementara, sehingga semua hutang di bank langsai.

Ketahuilah, bahawa kegagalan kita membayar hutang bank tepat pada masanya akan memberi impak kepada rating kredit kita. Jika rumah kita rosak jahanam dek perbuatan penyewa, kita masih tetap kena bayar bulanan ke bank. Bank tak peduli apa masalah kita. Kita dah berhabis duit membaiki rumah atau tidak, itu bukan masalah bank.

Jadi, bolehkah kita sambilewa dalam menguruskan rumah ini? Bolehkah kita tangkap muat sahaja penyewa rumah? Jawapannya, tidak boleh sama sekali.

Selagi boleh, kita mesti elak dari menyerahkan rumah kita kepada penyewa dari neraka. Sebagai langkah pertama, kita mestilah temuduga penyewa kita terlebih dahulu. Proses ini sama seperti proses mengambil pekerja atau mengahwinkan anak perempuan kita. Kita kena kenal siapa dia dulu. Jadi, elakkan percaya bulat-bulat pada rekomendasi kawan dan saudara. 

Temuduga yang saya maksudkan bukanlah temuduga formal dengan soalan-soalan formal seperti temuduga kerja. Temuduga penyewa lebih santai, boleh dilakukan semasa prospek datang ke rumah untuk melawat. Mereka mungkin tidak perasanpun yang kita sedang menemuramah mereka.

Antara perkara yang wajar kita ambil tahu ialah:
1. Pekerjaan mereka
2. Di mana mereka menyewa sebelum ini, dan kenapa berpindah?
3. Berapa sewa rumah sebelum ini, dah dapat semula wang deposit?
4. Berapa orang akan tinggal di rumah ini jika kita sewakan?

Soalan berkaitan rumah sewa lama kadang-kadang akan menyebabkan prospek mengumpat tuan rumah lama tanpa dia sedari. Dari percakapan mereka, kita boleh tentukan sama ada dia jenis cerewet suka menyalahkan tuan rumah, memang tuan rumah yang bermasalah, atau tiada masalah antara mereka. Ada juga yang mencari rumah sewa kerana telah pindah tempat kerja.

Ada juga tuan rumah yang meminta prospek mengisi borang. Di dalam borang itu, prospek kena nyatakan tempat sewaan lama dan no telefon tuan rumah lama untuk dihubungi. Nama dan alamat majikan juga diperlukan. Jika tuan rumah tidak selesa, boleh saja hubungi majikan atau tuan rumah lama sebelum bersetuju. Cara ini lebih formal. Ada prospek yang tidak selesa. Namun, jika prospek sudah jatuh hati dengan rumah kita, dan mereka tiada apa yang hendak dirahsiakan, mereka tentu akan isi sahaja borang tersebut.

Walau apa sekalipun cara kita, ia adalah untuk tujuan yang sama iaitu untuk mengelakkan terjerat dari mendapat penyewa yang tidak sesuai. Lebih baik berhati-hati sekarang, dari menyesal di kemudian hari.

Tuesday, September 8, 2020

Notis Mengosongkan Rumah

Berstatus tuan rumah tidak bermaksud kita boleh suka-suka usir penyewa. Apapun alasan kita, di bawah undang-undang, penyewa tidak boleh diusir kecuali mendapat kebenaran mahkamah. 

Tapi kalau ada perjanjian sewa, bolehkah kita usir mereka yang melanggar perjanjian?
Jawapannya, tidak boleh. Kelakar kan, tapi itulah hakikatnya. Walaupun mereka memang bersalah kerana melanggar perjanjian, tapi kita tetap kena buktikan dahulu. Mahkamah puashati baru boleh halau keluar.

Siapa sudah ada pengalaman melalui proses mahkamah tentu tahu, ia bukan proses yang mudah dan cepat. Ia mengambil masa yang sangat lama. Dan proses ini bukan percuma.

Tapi jangan risau, ada cara yg mematuhi undang-undang untuk kita arahkan penyewa mengosongkan rumah kita. Caranya ialah dengan mengeluarkan notis dalam masa yang tertulis dalam perjanjian. Jika perjanjian kata kena beri 1 bulan notis, 1 bulan awallah notis kena dikeluarkan. Jangan pula bagi notis harini, esok kena kosongkan rumah. Itu sudah melampau dan menganiaya.

Notis yang diberi mestilah notis bertulis. Hanya notis bertulis laku untuk digunakan sebagai bukti jika ada pihak yang mahu mengambil tindakan undang-undang. Saya cadangkan keluarkan surat dan berikan kepada mereka. Boleh pdf kan, dan email atau WhatsApp kepada mereka. Atau boleh juga buat serahan tangan atau pos.

Jika mereka masih juga berdegil tidak mahu mengosongkan rumah, kita boleh memotong sambungan air dan elektrik. Tulis siap-siap dalam notis bahawa jika mereka tidak kosongkan dalam masa yang dikehendaki, kita akan potong air dan elektrik. 

Tindakan memberi notis adalah tindakan yang adil untuk kedua-dua pihak. Ia juga mematuhi perjanjian sewa yang sudah ditandatangani sebelum tempoh sewa bermula. Jadi, kita terlindung dari tindakan undang-undang jika ada.

Monday, September 7, 2020

Tempoh Sewaan

Terpulang kepada kita hendak menyewakan rumah untuk jangkamasa berapa lama sekalipun, asalkan ada keuntungan. Namun, biasanya untuk elak mengulangi proses penyewa keluar-masuk dalam masa yang singkat, kita biasanya menyewakan paling kurang dalam masa setahun.

Saya suka memasukkan klausa-klausa berkaitan masa dalam perjanjian sewa agar tindakan penyewa berada dalam kawalan dan jangkaan kita. Kita juga mahu meminimakan kerugian. 

Antara klausa yang penting adalah:

1. Tempoh sewa minima 

Tempoh minima biasanya 1 tahun. 

2. Notis berhenti sewa sebelum 6 bulan sewaan

Jika penyewa hendak berhenti sewa sebelum masuk bulan ke-6 sewaan, wang deposit 2 bulan tidak akan dikembalikan. Ini bertindak sebagai denda atas kerugian tuan rumah yang akan kehilangan pendapatan sewa selama beberapa bulan untuk mencari penyewa baru. Kita tidak mahu penyewa main-main sekejap mahu sewa, sekejap tak mahu sewa.

3. Notis berhenti sewa selepas 6 bulan sewaan

Penyewa wajib memberikan notis 1 bulan sebelum keluar. Jika gagal, sebulan kos sewa tidak akan dipulangkan. Sama seperti di atas, ia juga bertindak sebagai denda kepada penyewa.

Banyaknya Kunci Rumah!

Jadi towkey rumah sewa akan menyediakan kita ada banyak koleksi kunci. Bayangkan kalau satu rumah ada 5-10 kunci. Kalau 5 buah rumah, dah ada hampir 100 kunci. Kalau tak disimpan dengan baik dan tersusun, memang sengsara nak mengenalpasti kunci mana untuk rumah yang mana. Jadi saya kongsikan sedikit tips untuk bagaimana kunci perlu disimpan.

Paling kurang kena ada 2 set kunci untuk setiap rumah. Jadi kalau ada kunci yang hilang, atau penyewa larikan diri, kita ada 1 set lagi. Sama juga dengan access card, kalau boleh ada 2 set juga.

Pastikan setiap kunci ditandakan dengan keychain berbeza. Beli keychain yang ada kertas boleh ditarik keluar, ditulis di atasnya dan masukkan balik. Tulis nombor rumah, no jalan dan nama taman.  

Adakan tempat simpan kunci yang khas, asingkan dari kunci rumah yang kita duduk. Susun kunci di tempat gantung kunci mengikut rumah. 

Dengan adanya cara simpanan yang sistematik begini, mudah untuk kita mencari kunci bila perlu. Dah kurang satu hal remeh untuk kita fikirkan.

Penyewa Gagal Bayar Sewa

Selalu terjadi penyewa gagal membayar sewa walaupun sudah diingatkan berkali-kali. Dia buat rumah tu macam rumah dia, tapi sewa tak mahu bayar. Kita boleh cuba usir mereka keluar, tapi ada kalanya mereka tetap berdegil tidak mahu keluar. Ada yang merayu-rayu mohon kita kesiankan mereka.

Untuk kes begini, ingatkan diri kita berkali-kali bahawa kita bukannya dermawan jutawan. Memandangkan mereka gagal membayar sewa, kitalah yang perlu bayar hutang pinjaman di bank setiap bulan. Adakah cashflow kita cukup untuk menanggung bayaran bulanan ini?

Sebab itu perjanjian sewa adalah dokumen penting yang kita perlu ada untuk menakut-nakutkan mereka tentang hak kita. Tapi kadang-kadang perjanjian itupun mereka tak hairan, mereka tahu proses tuntutan di mahkamah mengambil masa yang sangat lama. Sempatlah mereka duduk di sana beberapa bulan lagi.

Jadi, seterusnya apa sebenarnya kita boleh buat?

Ramai mencadangkan agar tuan rumah potong saja sambungan air dan elektrik rumah itu. Pergi saja ke pejabat air dan TNB, dan mohon untuk buat potongan segera. Penyewa pasti tidak boleh hidup lama dalam rumah yang tiada elektrik dan tiada air. Saya setuju dengan cara ini. Pastikan kita masukkan hak memotong utiliti ini di dalam perjanjian sewa agar penyewa tiada peluang untuk menyaman kita pula.

Jika dia bayar jumlah tertunggak, barulah kita mohon sambungan semula. Jika tidak, kita tunggu mereka lari keluar. Saya tulis 'lari' sebab biasanya mereka memang tidak akan pulangkan rumah dengan cara baik. Bersedialah kita untuk melihat rumah dalam keadaan kotor dan rosak sana-sini. Ada yang siap pecahkan pintu dan rosakkan lampu kipas sebagai tanda protes.

Bertabahlah..


Sunday, September 6, 2020

Penyewa Idaman

Penyewa idaman adalah penyewa yang tidak banyak songeh, bayar sewa secara berdisiplin tanpa gagal dan rumah kita dijaga bagai menjaga rumah sendiri. Ada yang siap buat modifikasi untuk menambahbaik keadaan rumah dengan kos mereka sendiri.

Penyewa begini tidak ramai namun masih wujud. Jadi jika rezeki kita dapat mereka sebagai penyewa, layanlah mereka dengan baik.

Saya ada pengalaman dengan seorang penyewa yang baik begini. Beliau tak pernah gagal bayar sewa, tapi ketika wabak COVID-19 melanda dunia baru-baru ini, beliau memohon untuk dikurangkan sewa bulanan selama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan. Alasannya ialah gaji beliau dikurangkan pihak syarikat. Beliau bukan minta kurang sedikit. Beliau minta kurang separuh.

Saya agak terkejut dengan permintaan ini, tetapi saya tahu beliau terdesak. Nasib baik kerajaan memberikan kemudahan moratorium kepada semua peminjam untuk pinjaman rumah dan kereta dari semua bank di Malaysia. Saya tidak rugi apa-apa kerana saya tidak perlu bayar sesenpun kepada bank selama 6 bulan semasa PKP. Jadi, sayapun bersetuju sahaja tanpa banyak soal. Beliau  sangat gembira kerana dia rasa dirinya dihargai sebagai penyewa.

Mungkin ada permintan-permintaan lain dari penyewa idaman kita, yang mereka terpaksa minta atas sebab-sebab tertentu. Saya syorkan agar kita tidak terlalu berkeras menurut perjanjian dalam keadaan tertentu bila berdepan dengan mereka. Cuba cari titik 'menang-menang' untuk kedua-dua pihak.

Penyewa Dari Neraka

Untuk menjadi tuan rumah sewa, kita kena bersedia untuk berhadapan dengan spesis "penyewa dari neraka". Spesis penyewa seperti ini sangat banyak. Walaupun selepas kita berhati-hati memilih penyewa, kadang-kadang terlepas juga.

Saya pasti anda pernah dengar atau lihat gambar/perkongsian di media sosial tentang rumah sewa yang diperlakukan seperti pusat pengumpulan sampah? Penyewa sangat-sangat pengotor, sehingga nak berjalanpun tak dapat pijak lantai. Kalau dapat pijakpun, lantai penuh berlumut hitam.

Ada juga rumah yang roboh dan rosak sana sini. Pintu pecah, sinki tertanggal, dinding diketuk merata dan macam-macam lagilah. Pernah seorang sahabat bercerita kepada saya yang rumah sewanya di Terengganu habis rosak sehinggakan mangkuk tandaspun tertanggal dari lantai. Pelik kan? Saya tak boleh bayangkan bagaimana mangkuk tandas boleh tertanggal, tap itulah yang terjadi. Ia adalah kisah benar.

Ada juga kes si tuan rumah ingatkan rumah akan diduduki oleh beberapa orang sahaja. Tapi rupa-rupanya 25 orang pekerja dari Bangladesh yang bersempit-sempit di rumahnya. Memang keadaan rumah jadi rosak belaka dek kerana banyak tangan yang guna. Tidak cukup dengan itu, ia telah menjadi kes polis kerana ada jiran yang sudah buat aduan. Malang bagi tuan rumah kerana tiada perjanjian sewa untuk rumah tersebut.

Sebab itu, saya suka berpesan agar rajin-rajinlah melawat rumah kita. Walaupun sudah disewakan, rumah itu masih lagi milik kita. Kita berhutang beratus ribu ringgit dengan bank untuk memilikinya. Jadi, tatanglah ia dengan baik. Pastikan kita bendung sikap penyewa dari neraka ini dari awal. Jika ada, halau sahaja dengan kadar segera.

Saturday, September 5, 2020

Urus Sendiri atau Upah Orang

Menguruskan rumah sewa memerlukan kita berkorban sedikit masa untuknya. Kalau kita ada banyak masa terluang, atau sanggup masa kita digunakan untuk tujuan mengurus rumah sewa  bolehlah urus sendiri. Namun kalau kita perlukan masa untuk perihal lain, digalakkan lantik orang lain untuk menguruskannya.

Urus Sendiri

Mudah untuk uruskan sendiri jika rumah sewa kita berdekatan dengan tempat kita tinggal. Nak pergi cuci dekat, nak bawa prospek datang melawatpun dekat, nak bagi kuncipun dekat.. malah kalau ada panggilan kecemasan dari penyewa kita boleh pergi segera.

Selain faktor lokasi, faktor masa juga mainkan peranan. Jika kita ada masa kerja yang tetap contohnya 8 pagi hingga 5 petang, kita boleh peruntukkan petang dan malam sebagai masa mengurus perihal rumah sewa. 


Upah Orang Lain Uruskan

Upahkan saja kepada individu lain, atau syarikat agensi untuk menguruskan rumah sewa kita jika kita mempunyai kekangan masa. Bagi yang mahukan ketenangan minda, upah orang juga adalah satu alternatif yang baik. Mengapa perlu pening-pening kepala.

Kekurangan upah orang ialah kita perlu bayar mereka atas servis yang diberikan. Berdasarkan pengalaman, mereka mengambil upah dalam sebulan kos sewa rumah sebaik mereka dapat mencarikan penyewa dan uruskan kemasukan penyewa. Lain-lain caj seperti membersihkan rumah dan baikpulih kerosakan adalah berdasarkan saiz kerja yang dilakukan.

Berdasarkan di atas, yang mana pilihan anda sebagai tuan rumah sewa? 

Tanggungjawab Pemilik Rumah Sewa

Sebagai pemilik rumah, kita mahu memiliki penyewa yang berdisiplinan dalam membuat bayaran bulanan dan yang menjaga rumah kita bagai menjaga rumah sendiri. Sebagai penyewa, mereka juga ada harapan-harapan tertentu terhadap kita yang perlu kita ketahui.

Sudah tentu penyewa akan lebih gembira jika tuan rumah mereka memenuhi semua tanggungjawab yang tertulis dalam perjanjian dengan baik. Apabila mereka gembira, kebarangkalian untuk mereka terus menyewa dengan kita adalah sangat besar.

Selain dari menggembirakan si penyewa, kita juga perlu melakukan tanggungjawab berdasarkan kehendak perjanjian sewa.

Apakah tanggungjawab pemilik rumah sewa?

1. Beri respon segera apabila ada aduan kerosakan rumah

Baikpulih mungkin mengambil masa, tapi beri respon kepada aduan mestilah dengan kadar segera. Tenangkan mereka, dan beritahu mereka yang kita sedang mengambil tindakan. Bila mereka tahu yang kita mengambil berat, mereka akan lebih tenang. 

Kemudian, lawatlah rumah untuk periksa kerosakan. Inilah sebab mengapa saya syorkan rumah sewa berdekatan dengan rumah kita sendiri. Bila dah dekat, mudahlah kita nak pergi periksa kerosakan. Tapi kalau jauhpun tak usah risau, kita hanya perlu beri arahan kepada individu atau syarikat yang sudah kita kenalpasti untuk melakukan kerja baikpulih.

2. Bayar bil-bil yang menjadi tanggungjawab kita

Terdapat bayaran-bayaran bulanan yang menjadi tanggungjawab kita sebagai tuan rumah. Antaranya ialah bil Indah Water, cukai pintu/cukai tanah dan apa-apa bil yang termaktub dalam perjanjian.

3. Tanya khabar dari masa ke semasa

Whatsapplah penyewa, tanya khabar. Mana tahu ada apa-apa aduan yang mereka mahu buat. Paling tidakpun, panggilan kita akan mengingatkan mereka yang rumah itu ada tuannya. Jangan buat sesuka-hati.

Ulasan Kelas

Dari kelas ini saya dapat belajar bagaimana untuk fokus menyediakan bahan dalam masa 10 hari, mencipta kaver buku berbentuk flat cover dan 3...