Friday, September 4, 2020

Fasa Kedua : Menandatangani Perjanjian Sewa

Setelah berjaya memilih penyewa yang memenuhi kriteria, tibalah masanya untuk menandatangani perjanjian sewa rumah.

Sekiranya penyewa tidak mahu menandatangi perjanjian, sila beredar dari penyewa begitu. Awal-awal lagi dia sudah tunjuk perangai, nanti bila sudah selesa di rumah kita entah apa pula perangai yang akan ditunjukkannya. Jadi, jangan cari nahas!

Perjanjian sewa adalah satu dokumen penting yang menyatakan apa hak-hak kita sebagai tuan rumah, ada apa pula hak-hak penyewa. Kedua-dua pihak perlu bersetuju dengan setiap hak-hak yang dinyatakan sebelum duit deposit dan kunci rumah bertukar tangan. Berbincanglah sehingga mendapat titik persetujuan bersama. Jika sampai ke sudah tidak mencapai kata sepakat, sebaiknya cari sajalah penyewa lain.

Apakah antara isi penting sesuatu  perjanjian sewa rumah?

1. Bayaran sekuriti deposit

Biasanya terdapat dua jenis deposit. Pertama, deposit sewa yang biasanya 1-2bulan nilai sewa rumah. Kedua, deposit utiliti yang biasanya bernilai separuh nilai sewa bulanan. Penyewa mestilah menyerahkan kedua-dua deposit ini beserta bayaran bulan pertama sebelum kunci rumah dan rumah diserahkan kepada mereka. Deposit ini hanya akan dipulangkan kepada mereka sebaik mereka menyerahkan semula rumah kita dalam keadaan asal.

Nota penting!! Jangan sesekali membenarkan deposit digunakan untuk melangsaikan bayaran bulanan rumah walaupun penyewa berkata dia akan keluar dalam masa 1-2 bulan dari notis diberikan. Pastikan mereka tetap bayar sewa bulanan seperti biasa sehingga bulan terakhir sewa. Jika kita benarkan wang deposit digunakan sebagai bayaran sewa, kita sudah tidak ada apa-apa untuk digunakan sekiranya rumah kita tidak dipulangkan dalam keadaan asal. Ketahuilah bahawa sudah banyak kes rumah sewa ditinggalkan dalam keadaan rosak, kotor dan memerlukan banyak kerja baikpulih. Bil elektrik, air dan gas tertunggak juga perlu dilangsaikan dengan menggunakan wang deposit tersebut.

2. Bayaran sewa bulanan

Nyatakan jumlah bayaran sewa, tarikh terakhir pembayaran setiap bulan dan cara bagaimana pembayaran boleh dilakukan. Saya suka meletakkan syarat pembayaran sebelum 7haribulan setiap bulan dan pembayaran dilakukan secara online (saya nyatakan siap-siap no akaun untuk tujuan pemindahan wang di dalam perjanjian). Kita juga perlu menyatakan hak kita untuk menghalau mereka keluar jika gagal membayar sebelum 7 haribulan.

Jangan tunggu lama-lama untuk memberikan notis mengosongkan rumah. Sebaik tiba hari ke-8, beritahu penyewa bahawa mereka perlu mengosongkan rumah dalam masa 2 hari jika masih gagal, atau kita akan keluarkan kesemua barang-barang mereka pada hari ketiga.

3. Perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam rumah sewa

Nyatakan dengan jelas apa yang mereka boleh buat dan tidak boleh buat. Antara yang biasanya tidak dibolehkan ialah menyewakan seluruh atau sebahagian dari rumah kepada pihak ketiga, melakukan modifikasi tanpa kebenaran, merosakkan mana-mana bahagian rumah dan perabot yang disediakan (jika ada) dan menggunakan rumah untuk tujuan selain dari yang dibenarkan seperti bisnes, maksiat/jenayah, keagamaan, dan sebagainya.

4. Senarai perabot/perantian dan kos setiap item

Bagi saya wajib untuk kita menyenaraikan setiap perabot dan peranti yang terdapat di dalam rumah beserta dengan harga setiap item. Ini memudahkan kita untuk menolak wang sekuriti deposit sekiranya ada mana-mana item yang rosak semasa rumah dipulangkan semula. Antara yang wajib saya senaraikan ialah kipas dan lampu untuk rumah kosong. Manakala untuk rumah berperabot, setiap item mestilah disenaraikan seperti TV, peti sejuk, mesin basuh, katil, meja, kerusi, periuk belanga dan sebagainya.

5. Penyelenggaraan kecil

Di dalam tempoh penyewaan rumah, sudah pasti akan ada aduan kerosakan mana-mana bahagian rumah atau perabot. Untuk kerosakan besar, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk membaikinya. Namun, untuk kerosakan kecil, nyatakan siap-siap di dalam perjanjian bahawa penyewa perlu melakukan sendiri penyelenggaraan kecil di bawah RM100 seperti menukar mentol lampu, paip sinki bocor atau tandas tersumbat. Kita akan tolak kos penyelenggaraan ini dari sewa bulanan. Perkara ini mungkin nampak enteng, namun sebenarnya sangat memudahkan kita. Tidak perlu pening untuk perkara remeh begini.

Selepas penyewa menandatangi perjanjian, jangan lupa untuk mematikan setem di perjanjian tersebut. Kos setem hasil hanya RM10 untuk perjanjian sewa rumah begini. Pastikan penyewa diberikan satu salinan, dan kita simpan yang original. Hanya perjanjian yang mempunyai setem hasil boleh kita gunakan sebagai bahan bukti jika perlu membuat apa-apa tuntutan undang-undang.

Saya akan memberikan pembeli e-book ini contoh perjanjian sewa rumah dalam format microsoft word yang sudah saya gunakan selama 8 tahun yang lalu. Berikan saya bukti pembelian dan alamat email di cutifamili@gmail.com, saya akan hantarkannya segera.


No comments:

Post a Comment

Ulasan Kelas

Dari kelas ini saya dapat belajar bagaimana untuk fokus menyediakan bahan dalam masa 10 hari, mencipta kaver buku berbentuk flat cover dan 3...