Monday, September 7, 2020

Fungsi Duit Deposit

Ramai tuan rumah mahupun penyewa tidak arif tentang tujuan sebenar wang deposit. Mereka hanya tahu yang deposit adalah wang yang perlu dibayar oleh penyewa kepada tuan rumah sebelum dibenarkan masuk ke rumah, selain daripada bayaran sewa bulan pertama. Kesilapan berlaku apabila mereka menggunakan wang deposit untuk membayar bulan-bulan terakhir sewa rumah sebelum tempoh sewaan berakhir.

Untuk menjadi tuan rumah sewa berjaya, mari kita fahami apa itu wang deposit.

Deposit adalah wang cagaran yang perlu dibayar oleh penyewa kepada tuan rumah sebagai sekuriti sekiranya ada apa-apa berlaku. Memandangkan tuan rumah memberikan kebenaran kepada penyewa yang tidak dikenali menggunakan rumahnya yang berharga ratusan ribu ringgit, logiklah tuan rumah mengenakan cagaran  yang bersesuaian.

Apakah risiko-risiko yang diambil oleh tuan rumah yang menyebabkan perlunya deposit?
1. Kegagalan penyewa membayar sewa
2. Penyewa lari tak bayar sewa
3. Penyewa merosakkan rumah dan harta di dalamnya
4.  Penyewa tidak membayar bil-bil utiliti
5.  Penyewa meninggalkan rumah dalam keadaan rumah yang kotor

Berikutan risiko yang terpaksa ditanggung, tuan rumah perlu mengambil wang deposit secukupnya. Biasanya deposit yang dipinta ialah 2+1, bermaksud deposit bersamaan dengan 2 bulan sewa dan 1 bulan bil utiliti. Ada juga yang ambil 2+2, atau 3+1, dan sebagainya. 

Seperti yang saya jelaskan di atas, wang deposit bertindak sebagai cagaran. Ia akan dipulangkan kepada penyewa dalam jumlah penuh jika tiada bayaran tertunggak, semua bil dilangsaikan, tiada kerosakan kepada rumah dan perabut, serta rumah ditinggalkan dalam keadaan bersih. Namun, jika sebaliknya berlaku, tuan rumah berhak untuk menolak kos yang ditanggung dari wang deposit.

Di atas alasan itulah, jangan sesekali tuan rumah membenarkan wang deposit digunakan sebagai bayaran sewa bulan-bulan terakhir. Kalau deposit sudah habis bayar sewa, dari mana pula nak ambil duit untuk langsaikan ansuran bank tertunggak, bersihkan rumah, baiki rumah dan bayar bil? 

Jangan haraplah bekas penyewa nak datang bayar. Sebab selama mereka menyewapun tak jalankan tanggungjawab, inikan pula selepas berpindah keluar. Silap-silap mereka akan 'block' nombor kita dan menghilangkan diri dari radar.

No comments:

Post a Comment

Ulasan Kelas

Dari kelas ini saya dapat belajar bagaimana untuk fokus menyediakan bahan dalam masa 10 hari, mencipta kaver buku berbentuk flat cover dan 3...