Wednesday, September 9, 2020

Temuduga Penyewa

Ingin saya ingatkan berkali-kali agar perkara ini terpahat di dalam ingatan anda, bahawa rumah sewa kita adalah harta kita yang sangat tinggi nilainya, yang belum lagi betul-betul jadi milik mutlak kita. Fakta bahawa kita masih berhutang dengan bank, bermaksud yang rumah itu sebenarnya masih lagi hakmilik bank. Kita hanyalah pemilik sementara, sehingga semua hutang di bank langsai.

Ketahuilah, bahawa kegagalan kita membayar hutang bank tepat pada masanya akan memberi impak kepada rating kredit kita. Jika rumah kita rosak jahanam dek perbuatan penyewa, kita masih tetap kena bayar bulanan ke bank. Bank tak peduli apa masalah kita. Kita dah berhabis duit membaiki rumah atau tidak, itu bukan masalah bank.

Jadi, bolehkah kita sambilewa dalam menguruskan rumah ini? Bolehkah kita tangkap muat sahaja penyewa rumah? Jawapannya, tidak boleh sama sekali.

Selagi boleh, kita mesti elak dari menyerahkan rumah kita kepada penyewa dari neraka. Sebagai langkah pertama, kita mestilah temuduga penyewa kita terlebih dahulu. Proses ini sama seperti proses mengambil pekerja atau mengahwinkan anak perempuan kita. Kita kena kenal siapa dia dulu. Jadi, elakkan percaya bulat-bulat pada rekomendasi kawan dan saudara. 

Temuduga yang saya maksudkan bukanlah temuduga formal dengan soalan-soalan formal seperti temuduga kerja. Temuduga penyewa lebih santai, boleh dilakukan semasa prospek datang ke rumah untuk melawat. Mereka mungkin tidak perasanpun yang kita sedang menemuramah mereka.

Antara perkara yang wajar kita ambil tahu ialah:
1. Pekerjaan mereka
2. Di mana mereka menyewa sebelum ini, dan kenapa berpindah?
3. Berapa sewa rumah sebelum ini, dah dapat semula wang deposit?
4. Berapa orang akan tinggal di rumah ini jika kita sewakan?

Soalan berkaitan rumah sewa lama kadang-kadang akan menyebabkan prospek mengumpat tuan rumah lama tanpa dia sedari. Dari percakapan mereka, kita boleh tentukan sama ada dia jenis cerewet suka menyalahkan tuan rumah, memang tuan rumah yang bermasalah, atau tiada masalah antara mereka. Ada juga yang mencari rumah sewa kerana telah pindah tempat kerja.

Ada juga tuan rumah yang meminta prospek mengisi borang. Di dalam borang itu, prospek kena nyatakan tempat sewaan lama dan no telefon tuan rumah lama untuk dihubungi. Nama dan alamat majikan juga diperlukan. Jika tuan rumah tidak selesa, boleh saja hubungi majikan atau tuan rumah lama sebelum bersetuju. Cara ini lebih formal. Ada prospek yang tidak selesa. Namun, jika prospek sudah jatuh hati dengan rumah kita, dan mereka tiada apa yang hendak dirahsiakan, mereka tentu akan isi sahaja borang tersebut.

Walau apa sekalipun cara kita, ia adalah untuk tujuan yang sama iaitu untuk mengelakkan terjerat dari mendapat penyewa yang tidak sesuai. Lebih baik berhati-hati sekarang, dari menyesal di kemudian hari.

No comments:

Post a Comment

Ulasan Kelas

Dari kelas ini saya dapat belajar bagaimana untuk fokus menyediakan bahan dalam masa 10 hari, mencipta kaver buku berbentuk flat cover dan 3...