Friday, September 4, 2020

Tips Memilih Rumah untuk Dijadikan Rumah Sewa

Saya sudah melakukan beberapa kesilapan semasa memilih rumah untuk dijadikan rumah sewa. Kesilapan-kesilapan ini menjadikan tugas saya sebagai tuan rumah agak sukar. Pernah juga hampir berputus asa dan tak mahu lagi beli rumah baru.

Tapi saya dan suami tiada pilihan. Kami diberikan rezeki anak ramai. Jadi kami perlu menjadi ibubapa yang bertanggungjawab, dan meneruskannya. Kami baiki kesilapan lalu sedikit demi sedikit. Sekarang alhamdulillah, keadaan sudah berubah.

Jom saya kongsikan apa yang mesti dibuat dan mesti dielak ketika membeli rumah untuk tujuan sewa. 

1. Target golongan penyewa

Fikirkan dulu siapa golongan sasar untuk dijadikan penyewa rumah kita. Adakah kita sasarkan golongan bawahan, pertengahan atau golongan mewah? Saya suka memilih golongan pertengahan sebagai golongan sasar. Golongan ini lebih ramai dari golongan mewah, dan mereka mampu membayar sewa berbanding golongan bawahan. Jadi rumah yang saya cari adalah dalam lingkungan sewa RM600-RM1200 sebulan.

Saya pernah terbeli rumah di kawasan flat yang rata-rata penyewanya dari golongan bawahan. Maaf kata, mereka agak liat membayar sewa, mungkin kerana kemampuan kewangan mereka agak rendah. Flat begini juga ada pelbagai masalah seperti lif rosak, tangga berbau hancing dan tiada tempat parking individu menyebabkan golongan pertengahan tidak berminat untuk sewa. 

2. Lokasi 

Rumah sewa mestilah terletak di kawasan strategik. Strategik bermaksud berdekatan jalan utama, banyak peluang pekerjaan berdekatan, ada jaringan pengangkutan yang baik dan tidak jauh dari pusat komersil (kedai/bandar). Senang cerita, lagi sibuk kawasan itu lagi mudah dapat penyewa.

Satu lagi kriteria penting bagi saya ialah rumah sewa perlu berada dalam negeri yang sama saya tinggal sekarang. Jarak yang dekat memudahkan kita melawat rumah kita dari masa ke semasa, dan menguruskan penyewa keluar-masuk. Kalau jauh sangat, kita terpaksa buang masa untuk ke sana atau buang duit untuk upah orang lain menguruskannya.

3. Harga rumah

Ini sangat penting. Harga sewa bulanan rumah sewa mestilah sama atau tinggi dari bayaran bulanan kita kepada bank. Ini yang dikatakan memiliki rumah sewa tanpa bayar kepada bank, sebab penyewa yang akan keluar duit untuk bayarkan.

Bagaimana nak tahu berapa bayaran bulanan rumah? Mudah saja, taip saja "Home loan calculator" atau "kalkulator pinjaman rumah" di google. Akan ada banyak hasil carian yang membolehkan kita mengira serta-merta. Saya biasanya menggunakan Home Loan Calculator dari web https://www.calculator.com.my/home-loan-calculator. Hanya masukkan jumlah maklumat yang diperlukan.. tadaa! Terus dapat jumlah bayaran bulanan.

Kemudian periksa harga sewa semasa di kawasan tersebut. Boleh periksa di mana-mana portal sewa-beli rumah seperti mudah.my. Jika jumlah bayaran bulanan sama dengan kadar sewa bulanan, barulah kita beli. Jika tidak, carilah hartanah lain. Pasti ada!

4. Pemilik rumah

Saya pernah membeli rumah dari pemilik yang bekerja di sektor kerajaan dan swasta. Membeli dari pemilik yang bekerja dari sektor swasta lebih cepat prosesnya berbanding sektor kerajaan. Jadi, kalau boleh elak, cubalah elak. Kalau tak boleh, bersedia untuk tunggu 1-2tahun untuk segala proses jual-beli dan tukar nama selesai.

Ini adalah antara tips utama membeli rumah untuk dijadikan rumah sewa. Ingatlah selalu, kita membeli untuk disewakan. Bukan untuk duduk sendiri. Jadi, ketepikan emosi ketika membeli.


No comments:

Post a Comment

Ulasan Kelas

Dari kelas ini saya dapat belajar bagaimana untuk fokus menyediakan bahan dalam masa 10 hari, mencipta kaver buku berbentuk flat cover dan 3...