Friday, September 4, 2020

Fasa Ketiga - Menguruskan Penyewa

Perjanjian sewa rumah sudah ditandatangani, wang sekuriti deposit sudah diterima, kunci rumah sudah diserahkan dan penyewapun sudah memasuki rumah. Apa lagi agaknya yang kita kena urus? Tugas kita hanya memastikan mereka bayar sewa setiap bulan sebelum mereka pulangkan rumah semula, bukan? 

Jika benar ini sahaja yang perlu kita buat, sudah tentu ramai orang tidak takut untuk menceburi bisnes sewa rumah ini. 

Tapi hakikatnya, menguruskan penyewa bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh, terutamanya jika kita mempunyai lebih daripada satu hartanah untuk diuruskan serentak. Ditambah pula dengan kerja hakiki, keluarga tercinta dan pelbagai perihal kehidupan untuk diuruskan.

Di sini ingin saya kongsikan apa yang saya lalui dalam Fasa Ketiga ini. Apa yang saya lakukan, dan apakah yang saya elak daripada lakukan akan saya kupas di sini.

Terdapat beberapa perkara yang perlukan perhatian kita sebagai tuan rumah, antaranya:

1. Bayaran Sewa

Pastikan penyewa membayar dengan disiplin setiap bulan. Latih mereka dari awal untuk menghantar pesanan Whatsapp kepada kita setiapkali bayaran dibuat. Boleh juga gunakan saluran Telegram untuk dia lampirkan bukti bayaran bulanan yang dibuat. Telegram sangat bagus, walaupun kita tukar telefon bimbit, Telegram masih lagi menyimpan semua komunikasi dan lampiran-lampiran selagi nombor telefon yang digunakan masih sama. 

Dengan cara ini, kita tidak perlu buang masa mengingatkan mereka tetapi mereka sendiri yang otomatik melakukannya setiap bulan. 

2. Lawat Rumah

Sesekali pergilah jenguk rumah sewa kita. Beritahu penyewa dari awal bahawa kita akan melawat rumah dari semasa ke semasa. Ini akan mengelakkan mereka dari memperlakukan rumah itu sesuka hatinya. Jika kita tidak pernah menjenguk rumah selama disewakan, jangan terkejut jika rumah kita rosak teruk sebaik sewaan tamat.

Namun, sebelum betul-betul pergi beritahu dia dahulu agar dia bersedia. Bagus juga dia bersedia dengan membersihkan rumah, baiki apa yang dia rosakkan dan hias-hias apa yang patut. Jika bernasib baik, dia mungkin akan menyediakan juadah. Elakkan datang secara mengejut, penyewa mungkin tidak suka. Mereka ada privasi mereka sendiri. Layan mereka sama seperti orang lain. 

3. Kerosakan Rumah

Terdapat dua jenis kerosakan, iaitu kerosakan besar dan kerosakan kecil. Saya mencadangkan yang berikut untuk menguruskan kerosakan yang diadukan oleh penyewa:

    a.   Kerosakan besar

Kerosakan seperti bumbung bocor, masalah wiring, mesin basuh rosak atau peti sejuk rosak adalah dalam katergori kerosakan besar. Kerosakan begini adalah tanggungjawab kita sebagai tuan rumah untuk menguruskan. Untuk memudahkan hidup kita, wajiblah untuk kita mempunyai senarai individu atau syarikat yang berdekatan dengan rumah sewa kita yang boleh melakukan kerja baik pulih dengan kadar segera. Berikan nombor telefon penyewa kepada individu/syarikat tersebut untuk mereka aturkan masa sesuai bagi melakukan kerja baikpulih. Kita hanya langsaikan bayaran sahaja.

    b.  Kerosakan kecil

Kerosakan kecil yang boleh diselesaikan pada kos kurang RM100 bolehlah diselesaikan oleh penyewa sendiri. Nyatakan syarat ini di dalam perjanjian sewa agar kehidupan kita tidak terganggu dengan masalah remeh seperti ini. Mereka hanya perlu lampirkan bukti kos baikpulih kepada kita, dan kita benarkan mereka menolak kos ini dari bayaran sewa bulan hadapan. Kerosakan kecil yang saya maksudkan adalah seperti mentol lampu tidak menyala, sinki tersumbat atau pili air bocor. 

Untuk memudahkan penyewa, berikan senarai individu dan syarikat yang boleh mereka hubungi untuk melakukan baikpulih kerosakan kecil.  

Jika anda lakukan 3 perkara di atas, saya jamin anda akan menjadi tuan rumah yang gembira. Kita boleh tumpukan masa kita yang amat berharga ini untuk perkara lain yang lebih utama.

 

No comments:

Post a Comment

Ulasan Kelas

Dari kelas ini saya dapat belajar bagaimana untuk fokus menyediakan bahan dalam masa 10 hari, mencipta kaver buku berbentuk flat cover dan 3...