Friday, September 18, 2020

Ulasan Kelas

Dari kelas ini saya dapat belajar bagaimana untuk fokus menyediakan bahan dalam masa 10 hari, mencipta kaver buku berbentuk flat cover dan 3D, melakukan suntingan kendiri dan akhirnya memasarkan e-book. Semua ini berlaku dalam masa 30 hari. Saya sendiri tidak sangka saya mampu melakukannya.

Tugas yang paling mencabar ialah menyediakan 50 entri dalam masa 10 hari. Bayangkan, kita perlu memerah otak mencari idea untuk menyiapkan 5 entri setiap hari. 

Amat berbaloi kerana segala ilmu asas yang diperlukan untuk menghasilkan e-book dapat diperolehi dalam masa yang singkat. Tambahan pula, kita dapat terus menghasilkan e-book sendiri. Hands-on learning technique yang berkesan.

Kepada peserta baru yang mahu mendaftar, jangan fikir terlalu panjang. Daftar sahaja dan go with the flow. Bila kita ikut jadual yang diberikan, inshaAllah kita akan dapat menghabiskan kelas ini bersama e-book dalam masa 30 hari sahaja.

Urusan harian seperti kerja hakiki, anak-anak dan keluarga, serta lain-lain cabaran terutamanya jika mempunyai anak kecil. Saya terpaksa mencari masa di waktu malam ketika anak sudah tidur untuk membuat tugasan. 

Disiplinkan diri untuk menyiapkan manuskrip dalam tempoh masa yang ditetapkan, dalam 30 hari sebagaimana ketika belajar di kelas. Tanpa disiplin dan kesungguhan yang tinggi, niat untuk menulis mungkin akan terbengkalai.

Panduan langkah demi langkah yang diberikan di dalam tempoh masa yang ketat menyebabkan secara otomatik kita berusaha ke arah menyiapkannya. Terima kasih Pn Masayu dan rakan-rakan kerana atas ajaran anda, saya berjaya menghasilkan e-book pertama. Alhamdulillah.

Friday, September 11, 2020

Idea Buat Duit


Saya dan suami dibesarkan dalam keluarga miskin. Hidup hanya kais pagi makan pagi, jadi jauh sekali nak sembang tentang belajarkan anak tinggi-tinggi. Ayah berulang kali mengingatkan; kalau bercita-cita besar, wajiblah belajar pandai-pandai untuk dapat biasiswa. Jika tidak, duduklah di kampung buat kerja kampung. Ayah tidak mampu untuk bayarkan. Alhamdulillah, ketika itu kerajaan sememangnya meletakkan pendidikan Bumiputera sebagai salah satu agenda utama. Kami mendapat bantuan dan biasiswa dari pelbagai agensi kerajaan untuk terus maju dalam kehidupan.

 

Namun di zaman ekonomi serba mencabar ini, kita tidak boleh lagi meletakkan harapan kepada pihak lain untuk melansungkan kehidupan. Zaman di mana kerajaan akan memberi bantuan jika kita ketinggalan dari segi ekonomi sudah berlalu. Sekarang, apabila kita mahukan sesuatu kita mestilah berusaha untuk mendapatkannya. Warga Malaysia lain sudah memperjuangkan kesamarataan. Taraf Bumiputera kita bukan lagi tiket untuk diberi bantuan selamanya.

 

Atas kesedaran inilah, saya dan suami tekad untuk mencari duit lebih sebagai persediaan pendidikan anak-anak. Selain mempunyai kerjaya tetap, kami juga mencuba pelbagai cara lain. Bisnes dropship, sudah. Keluarkan produk sendiri, sudah. Jual kosmetik, sudah. Main sahampun, sudah. Namun, pendapatan tambahan yang kami dapat tidaklah seberapa selain daripada ianya menuntut banyak masa kami dihabiskan ke arah itu.

 

Pada tahun 2012, saya berkenalan dengan seorang kakak sepejabat yang hidupnya tampak sederhana walaupun sudah berpangkat pengurus. Saya gelarnya Kak Zai. Dialah yang memperkenalkan konsep satu rumah bagi setiap seorang anak. Katanya, dengan cara ini dia tidak perlu lagi risau tentang masa depan pendidikan anak-anaknya. Mereka hanya perlu belajar bersungguh-sungguh untuk melayakkan diri ke pusat pendidikan pilihan hati, selebihnya mama dan papa akan uruskan dengan adanya rumah mereka itu.

 

Kak Zai menjelaskan, rumah tambahan yang kita beli untuk anak-anak bertujuan sebagai pelaburan jangka panjang. Kita beli semasa anak masih kecil, dan kita jual apabila mereka sudah hampir sedia ke menara gading. Sementara nak tunggu anak-anak membesar, dapatkanlah pendapatan tambahan dari rumah-rumah tersebut.

 

Banyak pilihan yang ada berkaitan dengan bisnes rumah. Antara yang menjadi pilihan ramai ialah rumah sewa jangka panjang dan homestay. Saya memilih rumah sewa kerana saya dan suami masih bekerja tetap. Rumah sewa tidak memperlukan perhatian penuh berbanding homestay.

 

Berbaloikah pendapatan dari rumah sewa? Saya serahkan kepada tuan-puan yang membaca e-book ini untuk memberi penilaian. Saya akan perincikan pengalaman saya di sini agar menjadi pedoman anda yang mahu memilih jalan yang sama untuk pendidikan anak-anak di masa depan.

Thursday, September 10, 2020

Bila Sesuai Beli dan Jual

Mulakan perjalanan kita memiliki satu rumah untuk setiap anak dari awal, iaitu sebaik sahaja kita dikurniakan anak pertama. Beli yang kecilpun tak mengapa, asalkan ada satu dulu. Biarkan ia jadi pemangkin kita di masa depan.

Pelaburan rumah mengambil masa yang lama untuk mendapat keuntungannya. Lebih awal kita bermula lebih baik. Jangan tunggu-tunggu. Proses membeli rumah mengambil masa 6 bulan ke setahun. Ia adalah proses yang panjang.

Letak target anak berumur 18tahun kita akan jual, sebagai persediaan dia belajar ke peringkat lebih tinggi.  Jadi, jika kita bermula seawal umur anak 1 tahun, dapatlah rumah itu matang dalam 18 tahun untuk dijikmati hasilnya.

Proses penjualan pun kena bermula awal, sebaik dia masuk tahun ke 18. Ini adalah kerana proses jualan rumah ambil masa 6 bulan ke setahun untuk selesai. Sebaik dia habis SPM (atau peperiksaan setara), wang dari jualan rumah sudah ada. Kita sudah tidak perlu risau tentang pengajiannya lagi.


Tips Membuat Pinjaman Bank Rumah Kedua dan Seterusnya

Jika kita sudah ada sebuah rumah, ada kemungkinan bank tidak mahu meluluskan pinjaman rumah lain kepada kita kerana tahap kewangan kita sudah paras hidung. Bank akan memeriksa tahap kesihatan kewangan kita terlebih dahulu sebelum memberikan pinjaman. 

Antara yang dilihat ialah peratusan hutang berbanding pendapatan kita. Jika peratusan hutang kita melebihi 60% berbanding pendapatan, besar kemungkinan permohonan pinjaman perumahan akan ditolak. Ini kerana bank sudah mengira yang kita juga memerlukan wang untuk kegunaan lain setiap bulan seperti belanja dapur, duit minyak kereta, keperluan perubatan, keperluan sekolah anak-anak dan lain-lain.

Berdasarkan perkara di atas,  kita perlu membuktikan kepada bank bahawa peratusan pinjaman kita tidak melebihi 60%. Bagaimana? Caranya kita mesti membuktikan terdapat aliran masuk wang tambahan setiap bulan, iaitu dari penyewa atas sewaan rumah pertama. Kita boleh jadikan perjanjian sewa dan penyata bank sebagai bukti. 

Kita boleh gunakan strategi sama untuk rumah-rumah seterusnya. Dengan cara ini, hasrat kita untuk memiliki satu rumah untuk setiap anak boleh tercapai.

Ternyata perjanjian sewa sangat penting, bukan?

Wednesday, September 9, 2020

Simpan Rekod Komunikasi Bersama Penyewa

Selagi boleh, semua komunikasi dengan penyewa dilakukan secara bertulis. Bukan apa, ia boleh dijadikan rekod segala komunikasi dua hala. Manusia kan mudah lupa. Mungkin yang lupa tu dipihak kita, atau mungkin di pihak mereka. Selain daripada itu ia juga boleh dijadikan bukti jika ada apa-apa isu dikemudian hari.

Saya biasanya berkomunikasi di Whatsapp, sebab ramai yang gunakan medium ini. Cuma kelemahan Whatsapp ialah ia hilang terus jika kita terpadam atau tukar telefon. Jadi kita kena selalu archive. 

Cara lain yang saya suka guna ialah Telegram. Komunikasi di Telegram tidak hilang, walaupun kita padam dari telefon atau kita tukar telefon. Kita boleh keluarkan semula komunikasi lama di Telegram pada bila-bila masa asalkan ada sambungan internet. Cuma tidak semua orang gunakan Telegram, terutamanya penyewa berumur.

Setiap kali memberi peringatan, tulislah nombor kepada peringatan itu. Contohnya "Peringatan Pertama : Dari rekod, kami masih belum menerima bayaran bulan Ogos. Sila jelaskan bayaran hari ini dan lampirkan bukti bayaran di sini. Jika bayaran sudah dibuat, kami ucapkan terima kasih, namun sila lampirkan bukti sebagai rujukan kami." Ulang peringatan sebanyak 3 kali jika mereka tetap gagal mengikut arahan. Bukti peringatan 3 kali ini diperlukan jika perkara ini dibawa ke muka pengadilan.

Ada sesetengah penyewa suka buat-buat terlupa tentang sesuatu perkara. Lupa nak bayar, lupa nak kandungan perjanjian, lupa pesanan kita dan macam-macamlah. Manusia kan banyak ragam. Jadi sebagai tuan rumah bijak, ini adalah salah satu daripada apa yang kita pastikan.

Temuduga Penyewa

Ingin saya ingatkan berkali-kali agar perkara ini terpahat di dalam ingatan anda, bahawa rumah sewa kita adalah harta kita yang sangat tinggi nilainya, yang belum lagi betul-betul jadi milik mutlak kita. Fakta bahawa kita masih berhutang dengan bank, bermaksud yang rumah itu sebenarnya masih lagi hakmilik bank. Kita hanyalah pemilik sementara, sehingga semua hutang di bank langsai.

Ketahuilah, bahawa kegagalan kita membayar hutang bank tepat pada masanya akan memberi impak kepada rating kredit kita. Jika rumah kita rosak jahanam dek perbuatan penyewa, kita masih tetap kena bayar bulanan ke bank. Bank tak peduli apa masalah kita. Kita dah berhabis duit membaiki rumah atau tidak, itu bukan masalah bank.

Jadi, bolehkah kita sambilewa dalam menguruskan rumah ini? Bolehkah kita tangkap muat sahaja penyewa rumah? Jawapannya, tidak boleh sama sekali.

Selagi boleh, kita mesti elak dari menyerahkan rumah kita kepada penyewa dari neraka. Sebagai langkah pertama, kita mestilah temuduga penyewa kita terlebih dahulu. Proses ini sama seperti proses mengambil pekerja atau mengahwinkan anak perempuan kita. Kita kena kenal siapa dia dulu. Jadi, elakkan percaya bulat-bulat pada rekomendasi kawan dan saudara. 

Temuduga yang saya maksudkan bukanlah temuduga formal dengan soalan-soalan formal seperti temuduga kerja. Temuduga penyewa lebih santai, boleh dilakukan semasa prospek datang ke rumah untuk melawat. Mereka mungkin tidak perasanpun yang kita sedang menemuramah mereka.

Antara perkara yang wajar kita ambil tahu ialah:
1. Pekerjaan mereka
2. Di mana mereka menyewa sebelum ini, dan kenapa berpindah?
3. Berapa sewa rumah sebelum ini, dah dapat semula wang deposit?
4. Berapa orang akan tinggal di rumah ini jika kita sewakan?

Soalan berkaitan rumah sewa lama kadang-kadang akan menyebabkan prospek mengumpat tuan rumah lama tanpa dia sedari. Dari percakapan mereka, kita boleh tentukan sama ada dia jenis cerewet suka menyalahkan tuan rumah, memang tuan rumah yang bermasalah, atau tiada masalah antara mereka. Ada juga yang mencari rumah sewa kerana telah pindah tempat kerja.

Ada juga tuan rumah yang meminta prospek mengisi borang. Di dalam borang itu, prospek kena nyatakan tempat sewaan lama dan no telefon tuan rumah lama untuk dihubungi. Nama dan alamat majikan juga diperlukan. Jika tuan rumah tidak selesa, boleh saja hubungi majikan atau tuan rumah lama sebelum bersetuju. Cara ini lebih formal. Ada prospek yang tidak selesa. Namun, jika prospek sudah jatuh hati dengan rumah kita, dan mereka tiada apa yang hendak dirahsiakan, mereka tentu akan isi sahaja borang tersebut.

Walau apa sekalipun cara kita, ia adalah untuk tujuan yang sama iaitu untuk mengelakkan terjerat dari mendapat penyewa yang tidak sesuai. Lebih baik berhati-hati sekarang, dari menyesal di kemudian hari.

Wanita Lebih Cekal Berkaitan Anak-Anak

Saya merasakan masih ramai wanita masih takut-takut untuk meceburi bidang hartanah. Mereka tiada keyakinan diri bahawa mereka juga boleh jika mahu. Sifat semulajadi wanita yang cekal sangat-sangat membantu dalam bisnes ini.

Wanita adalah kaum yang sangat cekal terutamanya berkaitan dengan hal-ehwal anak. Mereka sanggup berkorban apa saja untuk anak-anak. Tidak mengapalah diri tidak dapat apa yang dihajati, asalkan anak-anak dapat.

Korbankan masa tidur berjaga malam menjaga anak sakit. Korbankan diri tak makan asalkan anak dapat makan secukupnya. Korbankan wang ringgit untuk lihat anak selesa dan berjaya. Korbankan diri menderita didera suami asalkan si anak masih ada ayah. Macam-macam pengorbanan lagilah. Mereka meneruskan kehidupan dengan sifat cekal yang tinggi.

Kecekalan wanita menjadikan wanita juga sesuai menguruskan rumah sewa. Terutamanya rumah sewa tersebut adalah untuk masa depan pendidikan anak-anak. Masalah-masalah yang datang berkaitan rumah sewa boleh dihadapi dengan sebaiknya.

Suami jika ada, menjadi tempat mengadu yang terbaik. Sama-sama berbincang tentang masalah yang ada, dan sama-sama cari penyelesaian. Apabila dua kepala bersatu, lebih banyak perkara dapat diselesaikan. Pelbagai idea menarik dapat dijana untuk kebaikan keluarga.

Ulasan Kelas

Dari kelas ini saya dapat belajar bagaimana untuk fokus menyediakan bahan dalam masa 10 hari, mencipta kaver buku berbentuk flat cover dan 3...