Wednesday, September 9, 2020

Kos Pengajian Tinggi Semakin Meningkat

Menurut keputusan satu kaji selidik yang dibuat oleh sekumpulam pakar kewangan, Malaysia berada di tempat kelima untuk kos pendidikan termahal di dunia berdasarkan pendapatan isi rumah. Kenyataan ini digunapakai oleh Bank Negara Malaysia di dalam buletin "Ringgit". 

Menurut maklumat itu lagi, kebanyakan ibubapa terpaksa menggunakan 55% daripada jumlah pendapatan untuk membiayai pendidikan anak-anak. Berdasarkan kenaikan inflasi negara 4% setiap tahun, kenaikan kos pengajian di peringkat tinggi adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Kajiselidik AKPK pada 2018 menunjukkan hutang pendidikan adalah 5 beban hutang utama yang ditanggung oleh rakyat Malaysia yang bekerja. Ia juga merupakan 2 hutang utama untuk mereka yang berumur 20-29 tahun. Bebanan hutang yang tinggi pada umur yang masih muda ketika gaji masih rendah adalah bebanan yang besar kepada mereka. 

Bayangkan jika perkara ini terjadi kepada kita. Anak-anak kita telah memenuhi syarat untuk menyambung pelajaran tetapi kita tidak mampu menunaikan hasrat mereka kerana kekangan kewangan. Bagaimana pula jika kita sudah pencen ketika itu. Apakah sumber yang boleh kita gunakan untuk tujuan pembelajaran anak-anak?




Mengapa Satu Anak Satu Rumah?

Ada sahabat pernah bertanya, mengapa obses mengumpul rumah sewa. Mengapa satu anak satu rumah? Tidak bolehkah satu rumah sahaja sebagai pelaburan untuk semua anak?

Pertamanya, saya dan suami tidak obses. Ia adalah sekadar satu usaha yang kami buat untuk anak-anak. Apabila kita letakkan hati kita kepada sesuatu, sesuatu itu akan datang kepada kita. Ia umpama doa yang kita ulang-ulang pinta, dan akhirnya Allah makbulkan.

Boleh saja kalau nak ada satu saja rumah sewa untuk seisi keluarga. Namun, saya berpegang pada konsep adil samarata untuk semua anak-anak. Saya tidak sanggup menghantar seorang belajar ke peringkat tinggi namun seorang lagi tidak. Dengan mempunyai satu rumah untuk setiap anak, saya tidak perlu buat keputusan sukar seperti itu.

Jika anda tiada kemampuan untuk mempunyai satu rumah untuk satu anak, memadailah dengan bermula dengan satu rumah dulu. Bila dah bertambah rezeki nanti, boleh tambah lagi dan lagi. Yang penting kita bermula. Jika tidak bermula, sampai bila-bilapun kita tidak akan ada langsung.

Bukan apa, saya ada sahabat yang hanya ada seorang anak, namun sebiji rumah sewapun beliau tiada. Rugi, bukan? 

Mengapa Bisnes Rumah Sewa sebagai Pelaburan Pendidikan Anak-Anak?

Ada orang ambil insuran rider, ada yang simpan duit tunai dalam bank dan ada yang simpan emas sebagai pelaburan pendidikan anak-anak. SSPN juga adalah antara cara pelaburan ibubapa untuk pendidikan anak-anak. 

Baguslah jika anda sudahpun melakukan salah satu daripada yang disenaraikan di atas. Cuma, jika anda mahukan pulangan pelaburan yang lebih tinggi, rumah adalah pilihan yang perlu dicuba.

Tahukah anda bahawa rumah boleh memberikan pulangan pelaburan melebihi 100%? Ia bukan sedikit, bukan? 

Apa yang unik tentang pelaburan dalam rumah sewa ialah bayaran bulanan kepada bank bukan gunakan duit kita sendiri, tetapi duit sewa penyewa. Kita hanya keluarkan wang cengkeram semasa mula-mula nak beli rumah.

Bukankah ini satu pelaburan yang bijak? 


Kalau Anak Tak Sambung Belajar Peringkat Tinggi?

Tidak merugikan pun jika tiba-tiba suatu ketika nanti anak tidak menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Rumah sewa yang kita ada boleh menjana pendapatan untuk kita yang sudah tua ketika itu. Kita boleh teruskan menyewakannya, atau boleh juga dijual untuk dapatkan keuntungan capital.

Jika rezeki yang kita ada sudahpun memadai untuk menampung hari-hari tua kita, boleh saja kita hadiahkan rumah itu kepada anak. Mungkin rezeki kita dapat beli rumah adalah disebabkan oleh dia, dia membawa rezeki kepada keluarga kita. Tentu anak sangat gembira, kerana sebuah rumah dapat mengurangkan kekangan kewangan mereka semasa baru mula nak belajar hidup sendiri.

Seperti yang saya tekankan sebelum ini, tujuan rumah ini dibeli adalah bagaikan insuran pendidikan anak-anak di masa depan. Bezanya insuran berupa rumah seperti ini ialah kita akan dapat terus keuntungan dari rumah itu walaupun anak tidak sambung belajar. Berbanding dengan insuran pendidikan biasa, kalau anak tak sambung belajar, jangan haraplah kita nak dapat kelebihannya seratus peratus.

Jadi, usahlah dirisaukan apa yang mungkin atau tidak mungkin berlaku di masa depan. Apa yang penting, kita bersedia sahaja dari sekarang.


Tuesday, September 8, 2020

AMARAN

1.               Ebook ini adalah hak cipta terpelihara www.buatduitdenganrumahsewa.blogspot.com
2.               Anda dilarang sama sekali sama ada mengubah, mengedarkan atau menjual ebook ini kepada orang lain.
3.               Sebarang tindakan yang menyalahi etika penerbitan boleh dikenakan tindakan undang-undang. 
4.               Oleh itu, anda hendaklah melaporkan pihak admin sekiranya menerima ebook ini tanpa kebenaran.
5.               Tindakan anda amatlah dihargai bagi membanteras kegiatan-kegiatan sebegini. 
6.               Jika anda memilikinya secara tidak sah, saya tidak menghalalkannya dunia dan akhirat. 

Terima kasih.

Jaga Emosi

Wanita teliti orangnya, namun wanita juga mudah dipengaruhi emosi. Emosi inilah yang kadangkala menyebabkan pelbagai akibat negatif dari tindakan yang melulu.

Jaga emosi.
Bila kita WhatsApp tapi penyewa lambat balas, bukan bermaksud mereka tak menghormati kita dan nak cari pasal. Mungkin mereka sedang sibuk, atau terlupa nak balas dek kelam-kabut menguruskan benda lain. Bagi masa, esok boleh follow-up.

Jaga emosi.
Bila kita ingatkan penyewa yang mereka sudah lambat bayar sewa, jangan terus naik angin jika mereka kata terlupa. Mungkin mereka memang betul-betul terlupa. Berikan masa sehari untuk mereka lunaskan bayaran dan follow-up. 

Jaga emosi.
Kita keluarkan notis kosongkan rumah kerana kegagalan penyewa membayar sewa walaupun setelah berkali-kali diingatkan. Isterinya datang merayu-rayu dengan air mata berlinangan, siap bawa anak untuk mohon simpati. Kita kena kuat, jangan kerana kasihankan orang kita tak dapat bayaran ansuran bank. Akibatnya, kita mungkin masuk senarai blacklist CCRIS. Mungkin ada yang kata saya kejam tak berhati-perut, tapi hakikatnya saya hanyalah bersikap realistik. 

(Nota: Jika anda mampu untuk menampung seorang penyewa yang tidak membayar sewa, silakan. Tulisan saya ini hanyalah nasihat untuk mereka yang menjadi tuan rumah, tapi tidaklah kaya manapun. Sekadar nak ada satu rumah untuk setiap anak).

Jaga emosi.
Jangan gunakan kata-kata kesat ketika berkomunikasi dengan penyewa walaupun hati kita sangat sakit dengan perkataan atau perangai mereka. Senyap dahulu. Nanti sudah tenang, barulah cakap semula. Dikhuatiri semasa marah, kita akan cakap perkara yang mungkin kita akan kesali dikemudian hari. Kita tidak tahu latar-belakang penyewa kita. Entah-entah anak bomoh, atau ahli kongsi gelap. Hati-hati.

Jaga emosi dan jangan bertindak melulu. Selalu rujuk perjanjian sewa sebelum bertindak. 

Notis Mengosongkan Rumah

Berstatus tuan rumah tidak bermaksud kita boleh suka-suka usir penyewa. Apapun alasan kita, di bawah undang-undang, penyewa tidak boleh diusir kecuali mendapat kebenaran mahkamah. 

Tapi kalau ada perjanjian sewa, bolehkah kita usir mereka yang melanggar perjanjian?
Jawapannya, tidak boleh. Kelakar kan, tapi itulah hakikatnya. Walaupun mereka memang bersalah kerana melanggar perjanjian, tapi kita tetap kena buktikan dahulu. Mahkamah puashati baru boleh halau keluar.

Siapa sudah ada pengalaman melalui proses mahkamah tentu tahu, ia bukan proses yang mudah dan cepat. Ia mengambil masa yang sangat lama. Dan proses ini bukan percuma.

Tapi jangan risau, ada cara yg mematuhi undang-undang untuk kita arahkan penyewa mengosongkan rumah kita. Caranya ialah dengan mengeluarkan notis dalam masa yang tertulis dalam perjanjian. Jika perjanjian kata kena beri 1 bulan notis, 1 bulan awallah notis kena dikeluarkan. Jangan pula bagi notis harini, esok kena kosongkan rumah. Itu sudah melampau dan menganiaya.

Notis yang diberi mestilah notis bertulis. Hanya notis bertulis laku untuk digunakan sebagai bukti jika ada pihak yang mahu mengambil tindakan undang-undang. Saya cadangkan keluarkan surat dan berikan kepada mereka. Boleh pdf kan, dan email atau WhatsApp kepada mereka. Atau boleh juga buat serahan tangan atau pos.

Jika mereka masih juga berdegil tidak mahu mengosongkan rumah, kita boleh memotong sambungan air dan elektrik. Tulis siap-siap dalam notis bahawa jika mereka tidak kosongkan dalam masa yang dikehendaki, kita akan potong air dan elektrik. 

Tindakan memberi notis adalah tindakan yang adil untuk kedua-dua pihak. Ia juga mematuhi perjanjian sewa yang sudah ditandatangani sebelum tempoh sewa bermula. Jadi, kita terlindung dari tindakan undang-undang jika ada.

Ulasan Kelas

Dari kelas ini saya dapat belajar bagaimana untuk fokus menyediakan bahan dalam masa 10 hari, mencipta kaver buku berbentuk flat cover dan 3...